Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 30 April 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB11

PERUT Arlyssa sedang elok berdondang sayang. Tangannya laju menekup perut. Kenapalah kau berbunyi? Dah tengah lapar, memanglah dia berbunyi. Rungut hati Arlyssa. Soalan bodoh pula yang terkeluar dari mulutnya kalau perut tengah kosong. Dengan rambut yang masih berbalut dengan tuala, Arlyssa menyelongkar setiap inci dapur. Makanan memanglah ada. Tapi macam mana nak masak? Kang kalau aku masak, habis terbakar satu rumah, siapa nak jawab? Hatinya berkira-kira sendiri.

Dia berjalan ke ruang tamu. Sofa yang menjadi tempat tidur Harith dia duduk. Kepalanya ligat berfikir macam mana cara nak makan. Nak makan pun kena fikir. Itulah susahnya hidup Arlyssa. Susah hidup jauh dari keluarga sendiri. Dahlah di tempat asing. Sedang dia berfikir, matanya terpaku pada kunci-kunci yang bergantungan di sebelah suis lampu. Jarinya menggaru-garu dagu.

“Hmm… keluar pun okey jugak.”

Lantas tanpa menunggu lama, Arlyssa terus berlalu ke biliknya. Nak bersiap-siap dulu. Berkobar-kobar dia nak keluar bersiar-siar sambil mencari makanan untuk mengisi perut yang sedang kosong. Siap menukar baju, dia mendapatkan kereta Honda CR-V yang sangat dirinduinya itu. Dah lama betul dia tak memandu. Enjin kereta dia hidupkan dan beg tangan siap-siap dia sembunyikan di bawah kerusi pemandu, tempat biasa untuk beg tangannya.

Arlyssa memandu keretanya perlahan sehingga masuk ke jalan besar. Dia sangat berhati-hati kerana pertama kali memandu di kawasan baru. Dia ingat-ingat lupa jalan yang Harith bawa dia lalui semalam. Semalam kan dah gelap, jadi memanglah tak berapa ingat. Tapi dia redah aje. Tawakal aje. Sambil memandu sambil itu matanya melilau mencari kedai makan. Kurang-kurang kalau jumpa Secret Recipe ke, Killiney ke, okey jugak.

Hampir dua jam Arlyssa memandu tapi satu kedai makan pun dia tak jumpa. Perutnya pulak makin berlagu pelbagai rentak. Kerana tak tahan dengan bunyi dari perutnya, Arlyssa memberitak isyarat ke tepi dan kereta berhenti. Gear ditukar kepada N dan brek tangan dia tarik. Sebelah tangan memegang perut, manakala sebelah tangan lagi tercari-cari beg tangan.

“Ya Allah, mana pulak beg tangan ni,” omel Arlyssa.

Apabila berjaya mencapai tali beg tangan, Arlyssa terus menyelongkar isi dalam beg, mencari telefon bimbit. Telefon bimbit dia genggam. Hasrat hati nak telefon Harith terbantut apabila kepalanya tiba-tiba terfikir, aku mana ada nombor telefon Harith. Macam mana nak telefon dia? Mintak dengan along? Hatinya memberikan cadangan. Mintak dengan along? Memang taklah! Lepas along campak aku dengan Harith kat tempat jin bertendang ni, aku tak akan nak tebal muka telefon along. Rasa marah dulu tak hilang lagi! Tiba-tiba Arlyssa berangin bila dicadangkan supaya menelefon Syed Yusri.

Habis, kalau tak telefon along, aku nak call siapa? Mama? Tapi mama ada ke nombor telefon Harith? Arlyssa keraguan. Kalau telefon Puan Aini, sah-sahlah orang tuanya itu akan dapat hidu hubungannya dengan Harith yang masih tak baik-baik. Kecuali sebuah ciuman pagi tadi. Tapi setakat itu sahaja.

Arlyssa memegang perutnya kembali apabila bunyi keriukan semakin kuat bergema. “Aduh!” Dia mengaduh. Dalam kesakitan, dia menyelongkar isi beg tangan. Manalah tahu takut-takut terjumpa sesuatu yang boleh menolongnya. Sedang dia menyelongkar beg jenama Gucci itu, tangannya tak semena-mena terpegang sesuatu. Lantas dia bawa keluar sekeping kertas itu.

“Alhamdulillah.” Ucapnya syukur bersama senyuman yang melebar di bibir.

HARITH berjalan beriringan dengan Malik keluar dari kamar mahkamah. Telefon yang ditutup dia bawa keluar dari dalam poket seluar. Usai menghidupkan telefon, dia menyibukkan diri menyimpan segala fail yang digunakan di dalam kes tadi. Telefonnya tiba-tiba menjerit minta diangkat. Songkok di kepala dia tanggalkan dan letak di atas kerusi belakang. Skrin telefon dia pandang lama. Siapa ni? Nombor yang tak dikenali tertera di skrin. Nombor Kuala Lumpur ni, htinya membuat telahan berdasarkan nombor yang terpapar. Ah, jawab ajelah.

“Helo,” Harith tidak menyapa dengan salam kerana bimbang jika orang yang menelefonnya itu bukan seagama dengannya.

“Awak, awak ada kat mana ni? Kenapa lambat sangat angkat phone? Dah naik lenguh jari-jari saya ni dail nombor awak.” Tanpa salam, tanpa sapaan, Harith terpaksa menadah telinga mendengar rungutan si pemanggil. Berkerut dahi Harith. Skrin telefon dia pandang seketika sebelum menyoal kembali.

“Err.. Awak ni siapa?” Ragu-ragu Harith menyoal.

I’m your wife! Takkan suara isteri sendiri pun dah tak kenal.” Selamba Arlyssa menjawab. Tiba-tiba perutnya mencucuk lagi. “Aduh!” Spontan dia mengaduh hingga menggusarkan Harith. Pertama kali Arlyssa mengaku sebagai isteri Harith.

“Lys, awak kat mana ni? Kenapa dengan awak? Awak sakit ke? Awak jangan buat saya susah hati.” Bertalu-talu soalan Harith. Dari suaranya sudah dapat diagak yang dia memang sedang susah hati.

“Awak, saya ada kat luar ni. Saya lapar. Tapi saya tak tahu saya ada kat mana. Kiri kanan saya ni ada pokok-pokok aje. Awak, tolonglah. Saya tak tahu nak pergi mana ni,” rayu Arlyssa sengan suara sayu.

“Takkan awak tak tahu langsung kat mana awak berada sekarang ni? Takkan awak tak jumpa langsung signboard kat tepi jalan tu?” Harith pelik dengan jawapan Arlyssa.

“Tak, saya tak tahu.” Mendayu suara Arlyssa.

“Tak tahu, tak tahu. Habis, apa yang awak tahu? Boleh tak awak bagi tahu kat mana sebenarnya tempat awak berada sekarang ni? Bagilah tempat yang specific sikit,” tekan Harith. Nak suruh aku pergi ambik, bagilah clue yang boleh aku teka tempat tu. Ni tak, takkan pokok-pokok aje? Punyalah berlambak papan tanda kat tepi jalan tu, boleh pulak dia cakap tak tahu nama tempat tu. Sangat tak logik!

Harith masuk ke dalam kereta. Jam tangan dia pandang sekilas. Dah masuk waktu makan tengah hari. Manakala di hujung talian, Arlyssa melilaukan pandangan ke sekitar kawasan itu. Alah, mana signboard ni? Susah-susah. Rungut Arlyssa. Mata Arlyssa menangkap satu papan tanda. Dia membaca papan tanda itu. Wakaf Tembesu. Lantas dia mendapatkan kembali telefon bimbit.

“Awak, saya dah dah jumpa signboard. Wakaf Tembesu. Itu aje yang tertulis kat situ. Tapi kat mana saya tak tahu,” ujar Arlyssa satu persatu. Dia berharap sangat Harith dapat datang ke situ. Dia dah tak tahan menanggung bunyi di dalam perut yang sedang berirama kencang ni.

“Okey, okey. Awak tunggu kat situ. Jangan pergi mana-mana. Duduk aje kat situ,” pesan Harith. Telefon dia campak ke tempat duduk sebelah dan kereta Myvi hitam itu meluncur laju di atas jalan raya.

HARITH memberikan isyarat ke kiri sebelum berhenti. Dia lantas bergegas keluar mendapat Arlyssa yang duduk di dalam kereta. Tingkap di sebelah pemandu dia ketuk perlahan. Arlyssa pantas menurunkan cermin sebaik ternampak wajah Harith. Dia hampir tak kenal wajah suami sendiri. Mungkin kerana Harith sedang mengenakan cermin mata saat ini.

“Awak ikut saya. Ingat, tu kereta saya. Jangan hilang jejak pulak.” Ujar Harith sambil jari telunjuknya terarah pada keretanya.

“Ha? Okey, okey.” Laju Arlyssa menjawab bersama dengan anggukkan kepala. Harith kembali semula ke arah keretanya.

Beberapa saat kemudian, kereta Harith mula bergerak perlahan-lahan sambil diekori oleh Arlyssa di belakang.

“Awak nak ke mana sebenarnya?” Soal Harith selepas meneguk perlahan air jus epal yang dia pesan sebentar tadi. Arlyssa yang sedang enak menjamu selera dia pandang tanpa jemu. Macam tak makan setahun! Komen hati Harith.

“Saya nak cari kedai makan. Lapar. Tapi tak sangka boleh sampai ke tempat tu. Apa nama dia? Err.. Wakaf Tembesu ek? Ha, tulah nama tempatnya.” Arlyssa menjawab dengan mulut yang penuh dengan makanan. Hisy, hilang terus sifat kewanitaannya.

“Kalau cari kedai makan pun takkanlah sampai ke sana. Sebelum sampai ke Wakaf Tembesu tu, awak sepatutnya dah jumpa banyak kedai makan. Kat sini berlambak kedai makan tepi jalan.” Jawapan Arlyssa seakan tak logik langsung. Takkan tak jumpa waima satu kedai makan. Nak menipu tu agak-agaklah.

Kata-kata Harith buat dia tersedak perlahan. “Uhuk.. Uhuk..” Arlyssa menggosok dada yang terasa pedih. Tangan Harith laju mencapai gelas berisi air laici dan dihulurkan kepada Arlyssa. Gelas di tangan Harith Arlyssa sambar dan diteguk rakus. Kalaulah aku beri jawapan betul kang, dia kutuk aku pulak. Getus hati Arlyssa. Sebabnya dia tak ingin dan tak pernah pun makan kat warung-warung tepi jalan. Kalau bukan tempat yang ada penghawa dingin, dia memang tak akan makan. Tapi sekarang, kerana perut yang semakin mencucuk, dia turutkan juga langkah kaki Harith. Dalam hatinya cuma satu, asalkan dapat makan. Dia dah tak kira di mana pun. Kalau bawah pokok pun jadi!

“Awak ni, makan tu perlahanlah sikit.” Spontan tangannya laju menggosok belakang Arlyssa. Selepas seketika, Arlyssa melepas nafas lega apabila hilang rasa sakit di dada.

“Macam mana? Dah okey?” Harith menyoal. Serba sedikit hatinya gusar juga melihat keadaan Arlyssa tadi. Nasib baik tak teruk.

Arlyssa mengangguk perlahan dan meneruskan suapan hingga licin nasi di dalam pinggan itu. Harith tergeleng-geleng melihatkan tingkah Arlyssa.

“Awak nak apa-apa lagi tak?” Soal Harith. Dia sudah siap sedia berdiri, nak pergi bayar makanan Arlyssa.

“Err.. Boleh bungkus ke?” Arlyssa bertanya bagai orang tak pernah makan kat kedai. Kening Harith terjongket. Hamboi! Takkan lapar lagi? Ni makan ke melantak?

“Awak nak apa lagi?” Harith malas bersoal banyak. Waktu rehatnya tinggal beberapa minit saja lagi. Dengan solat zohor tak lagi. Hisy!

Arlyssa menjawab dengan gerakan bahasa tubuh. Jari telunjuknya lurus menunjuk ke arah deretan gerai yang menjual kuih-muih. Mata Harith terarah ke sana seketika sebelum memandang kembali ke arah Arlyssa. Dahinya sudah mempamerkan kerut seribu. Hisy, nak isi kat mana entah perempuan ni. Rungut Harith sebelum berlalu ke kaunter pembayaran.

Kira-kira 15 minit kemudian, kereta Harith bergerak perlahan meninggalkan warung kecil itu. Dan Arlyssa masih setia mengekori di belakang. Kalau tak ikut belakang kereta Harith, nanti dia sesat lagi. Selepas beberapa minit memandu, Arlyssa akhirnya selamat sampai di rumahnya. Harith tak ikut masuk sama ke dalam rumah sebaliknya dia merapati Arlyssa.

“Nah, makanan yang awak nak. Lepas ni jangan keluar lagi. Ingat, masuk dalam rumah, kunci pintu tu. Nanti takut ada perompak ke apa ke, susah pulak nanti.” Pesan Harith sambil menghulurkan bungkusan kuih-muih yang dibeli tadi.

“Okey,” balas Arlyssa perlahan. Dia sedar dengan silap sendiri. Tanpa menunggu lama, Harith terus mengangkat kaki.

“Err.. Awak.” Panggil Arlyssa. Langkah kaki Harith mati. Kepala dipusing memandang Arlyssa. Keningnya terjongket menghantar pertanyaan. Wajahnya sengaja diseriuskan.

“Err.. Awak balik pukul berapa?” Arlyssa memberanikan diri menyoal.

“Kenapa?” Harith pelik dengan soalan Arlyssa. Tak pernah-pernah tanya, hari ni tiba-tiba tanya. Apa kes?

“Err…” Arlyssa tak tahu nak jawab apa.

“Huh!” Aku ni dah lewat, boleh pulak tanya aku tapi diam. Omel hati Harith. Tanpa pamitan, Harith terus angkat kaki.

“Aku tanya sikit pun tak boleh!” dengus Arlyssa sebaik kereta Harith berlalu pergi. Dia masuk ke dalam rumah.

KERETA Harith parkir sedikit jauh dari pejabatnya. Nak buat macam mana, terlewat sedikit pasti petak pakir tiada yang kosong. Nak tak nak terpaksalah dia menapak.

“Wei, kau pergi ke mana? Lewat macam ni baru masuk ofis,” Malik yang sedang berbual dengan salah seorang staf mereka menegur Harith. Mereka sama-sama keluar dari mahkamah tadi tapi Harith masuk lambat darinya. Dia pergi ke mana sebenarnya? Ligat kepala Malik berfikir.

“Hah? Eh, aku cerita kat kau lepas nilah. Aku nak solat dulu, tak solat lagi ni.” Kelam-kabut Harith meminta diri. Tapi memang dia sedang mengejar masa sekarang ni. Lambat-lambat nanti takut terlepas pulak waktu zohor.

Malik menggelengkan kepala melihatkan tingkah Harith. “Dia pergi mana sampai tak sempat nak solat?” Malik berbisik perlahan.

“Apa dia Encik Malik?” Kamalia bertanya selepas terdengar majikannya itu seperti sedang bercakap. Mungkin menyoal.

“Hah? Eh, tak ada apa-apalah.” Malik tak sangka pulak apa yang dia cakapkan tadi didengari oleh Kamalia, kerani bawahan di syarikat kecil itu. Malik berlalu ke biliknya, meninggalkan Kamalia yang masih diselubungi tanda tanya.

KETUKAN di pintu bilik mengejutkan Harith yang sedang enak melayan perasaan. Siapa pulak ni?

“Masuk!” Laung Harith. Sebuah fail yang berada di penjuru meja dia capai.

“Wah, rajin betul kawan aku ni. Sejak bila kau jadi rajin semacam ni? Eh, eh. Aku tahulah kau ni rajin sangat tapi janganlah kau baca fail tu terbalik.” Suara Malik menegur Harith.

Terbalik? Harith pantas melihat kulit hadapan fail itu. Ya Allah! Macam manalah aku tak perasan tadi, kan dah tak pasal-pasal malu.

“Kau nak apa ni?” Harith menyoal, sengaja mahu mengalihkan topik perbualan.

“Kau ni, kurang-kurang jemputlah aku duduk.” Malik berkata seperti orang tak puas hati. Kerusi di hadapan meja Harith dia tarik. Alah, bilik kecil aje. Pejabat kecil, bilik pun kecillah.

“Tak payah nak jemput bagai. Aku tak pelawa pun kau duduk jugak kan. Kau nak apa ni?” Bidas Harith. Malas dia nak layan si Malik ni. Banyak sangat cekadaknya.

“Eleh, buat-buat tanya pulak. Tadikan kau janji nak cerita kat aku. Kau jangan nak pusing-pusing pulak.” Pen di hadapan Harith dia capai. Bukan dia tak kenal si Harith ni. Sejak di universiti lagi mereka rapat. Boleh dikatakan semua rahsia Harith dalam poketnya. Tambah lagi mereka datang dari negeri yang sama. Jadi, lagi mudah untuk mereka masuk.

“Hmm.. pasal aku masuk lambat tu?” Soal Harith, pura-pura tak tahu apa-apa.

“Eh, kau jangan nak buat pura-pura tak tahu pulak. Pasal tulah. Pasal apa lagi.” Laju aje Malik dapat menghidu taktik sahabat serta rakan kongsinya itu.

Harith menarik nafas perlahan. Memang sejak tadi kepalanya sedang ligat mencari punca untuk memulakan cerita depan Malik. Nak beritahu perkara sebenar ke tak? Itulah yang hatinya sibuk pertimbangkan dari tadi. Kalau beritahu perkara sebenar, pasti terbeliak punya mata mamat ni. Seorang peguam syarie’ ditangkap basah dan terpaksa berkahwin. Macam tak logik tapi itulah hakikatnya. Wajah Malik dia pandang dengan rasa gelisah yang menghantui dirinya. Kening Malik dah terjongket menantikan jawapan. Ah, aci redah ajelah.

2 ulasan: